Ahad, 11 Mei 2014

TAZKIRAH : MARILAH BERAKHLAK ISLAM

MARILAH BERAKHLAK ISLAM; JANGAN SANGKA BURUK, JANGAN MENGINTIP & JANGAN MENGUMPAT

Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah menjadi mayat tentu sahaja kamu tidak suka. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi bersifat ar-Rahim."

A. Mukaddimah

Orang yang sebenar-benar beriman mempunyai akhlak yang sangat mulia lagi terpuji. Antara akhlak terpuji ialah tidak berburuk sangka dan mencurigai seseorang, jangan mengintai dan mencari kesalahan dan keburukan seseorang dan jangan mengumpat seseorang.

B. PRASANGKA BURUK ADALAH HARAM

1. Sangkaan buruk adalah kecurigaan dan tohmahan yang terdetik di hati terhadap seseorang pada bukan tempatnya tanpa sebarang bukti dan petanda yang jelas.

2. Menurut Umar bin al-Khattab; janganlah kamu bersangka buruk dengan satu ungkapan yang keluar daripada saudaramu sedangkan kamu masih menemui ruang untuk bersangka baik.

3. Sangkaan adalah sebohong-bohong bicara. Ia ditegaskan oleh Nabi saw dalam Hadis Sahih Muslim:
إياكم والظن فإن الظن أكذب الحديث
Maksudnya: "jauhilah sangkaan kerana sangkaan itu adalah sebohong-bohong percakapan"
Hal ini kerana sangkaan adalah satu tohmahan dan tuduhan yang berkeberangkalian betul dan salah.

4. Sekiranya sangkaan itu adalah salah dan tidak menepati realiti sebenar maka ia menjadi satu pembohongan.

5. Apabila sangkaan tersebut tersebar dalam masyarakat  ia menjadi satu pembohongan dan fitnah yang merosakkan reputasi orang yang disangka.

6. Sekiranya sangkaan itu adalah benar dan menepati realiti ia tetap menjadi satu pembohongan kerana di saat sangkaan itu berlaku dan terdetik di hati atau dilafazkan dengan lidah ia masih lagi berstatus tohmahan dan agak-agakkan tanpa bukti. Seorang mukmin hanya berbicara sesuatu yang pasti dan terbukti benar bukannya sesuatu yang belum dapat dipastikan kebenarannya.

7. Banyak orang suka menyebarkan berita yang tidak pasti dan hanya bersifat sangkaan. Sebagai contoh seseorang mungkin berbicara: "Saya dengar si fulan makan harta haram". Jika ungkapan itu dibicarakan di hadapan seseorang dengan tujuan menjadi bahan perbualan maka hukumnya adalah haram. Dia telah menyebarkan satu berita yang belum pasti tetapi berpotensi merosakkan reputasi dan nama baik seseorang.

C. SANGKAAN MENDORONG KEPADA MENGINTAI KESALAHAN

1. Sangkaan terhadap seseorang akan mendorong seseorang untuk mengintai-ngintai dan mencari-cari kesalahannya. Kerana itu Allah menegaskan lagi
ولا تجسسوا
"Dan janganlah kamu mengintai-ngintai (kesalahan)"

2. Setiap mukmin diajar untuk menilai seseorang pada zahir penampilannya. Adapun hakikat sebenar dirinya di luar pandangan mata manusia atau dosa-dosa tersembunyi dirinya dengan Allah perlulah diserahkan kepada Allah. Bukanlah akhlak Islam mencari dan mengintai kesalahan mereka yang tersembunyi.

3. Malah apabila dosa tersembunyi itu sampai ke pengetahuan seseorang maka menjadi kewajipannya untuk menegur dan menasihati seterusnya menyembunyikannya dari pengetahuan manusia lain dan tidak menyebarkannya tanpa sebarang sebab yang syar'ie.

Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih:
من ستر مؤمنا ستره يوم القيامة
Maksudnya: "Sesiapa yang menutup aib seorang mukmin maka Allah tutup aibnya di hari Qiamat."

D. JANGAN MENGUMPAT

1. Manusia tidak sempurna. Setiap orang mempunyai kelemahan dan keburukan diri yang berbeza. Setiap orang tidak suka kelemahan dirinya menjadi bahan bicara orang lain.

2. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk menasihati saudaranya muslim yang melakukan kesalahan dan menutup keburukan serta keaiban dirinya. Sesiapa yang menutup aib saudaranya pasti Allah tutup pula keaiban dan keburukan dirinya sebagaimana sabit dalam banyak hadis Nabi saw.

3. Keburukan diri seseorang sekiranya diketahui tidak sewajarnya disebarkan dan dijadikan bahan perbualan. Itulah umpatan yang diharamkan. Kewajipan saudara muslim terhadap saudaranya ialah menasihati bukan menyebarkan keburukan seseorang.

4. Untuk sekadar menjadi bahan perbualan sama ada di kedai kopi atau terkini di aplikasi whatsApp maka ia adalah haram dan membawa kepada umpatan yang diharamkan.

5. Kerana itu Allah berfirman lagi:
ولا يغتب بعضكم بعضا
Maksudnya: "Dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain".

6. Mengumpat adalah haram dengan dalil ayat ini dan banyak lagi hadis-hadis yang Sahih. Mazhab Maliki mengkategorikannya sebagai dosa besar manakala mazhab Syafie menilainya sebagai dosa kecil.
Mengumpat ialah "kamu menyebut berkaitan saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukai oleh dirinya"

7. Menurut Ibnu Asyur mengumpat adalah haram kerana ia mengandungi kerosakan lemahnya persaudaraan Islam. Boleh jadi umpatan itu sampai kepada orang yang diumpat lalu terbentuk dalam dirinya rasa permusuhan terhadap orang yang mengumpatnya maka rapuhlah binaan persaudaraan. Juga kerana mengumpat itu bererti menyibukkan diri dengan hal ehwal manusia lain yang melekakan dirinya daripada melakukan perkara-perkara penting dan melekakan dirinya daripada meninggalkan sesuatu yang tidak ada kaitan dengan dirinya.

8. Saudaramu tentu tidak menyukai keburukan dan kelemahan dirinya menjadi perbualan orang lain. Dia mungkin seorang yang kasar dan mudah marah. Namun tentu sahaja dia tidak suka akhlak buruknya itu menjadi bahan perbualan. Maka kewajipan kita sebagai saudara muslim ialah menasihatinya untuk meninggalkan akhlak buruknya dan tidak menjadikannya bahan perbualan.

9. Ada yang berhujah: "saya tidak mengumpat kerana memang sebetulnya dia berakhlak buruk". Inilah salah faham. Kerana dia sememangnya berakhlak buruk maka haram kita berbicara tentang dirinya sebagai bahan perbualan tetapi wajib atas kita menasihatinya. Sekiranya sebaliknya dia tidak berakhlak buruk sepertimana diperkatakan maka ia tidak dipanggil umpatan tetapi dipanggil berbohong dan mereka-reka cerita. Berbohong dan mereka cipta cerita yang buruk dan tidak sebenar adalah satu lagi dosa dan akhlak yang terburuk.

10. Namun, Islam memberi kelonggaran, sekiranya bicara tentang kesalahan seseorang yang dilakukan secara terang-terangan adalah dengan tujuan untuk memperingatkan orang Islam agar berhati-hati apatah lagi jika melibatkan maslahah umat Islam maka ia dibenarkan dengan syarat tidak dalam bentuk merendah-rendahkan atau menghina si fulan tersebut.

E. PENUTUP
Inilah keindahan akhlak Islam. Sekiranya ia menjadi hiasan anggota sesebuah masyarakat akan harmonilah kehidupan bermasyarakat. Sudah tentu rahmat Allah akan turun kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan