MARILAH BERAKHLAK ISLAM; JANGAN SANGKA BURUK, JANGAN MENGINTIP & JANGAN MENGUMPAT
Allah berfirman dalam Surah al-Hujuraat ayat 12:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ
بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ
بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا
فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka
(kecurigaan), kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa. Dan
janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama
lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah
menjadi mayat tentu sahaja kamu tidak suka. Dan bertaqwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi bersifat ar-Rahim."
A. Mukaddimah
Orang
yang sebenar-benar beriman mempunyai akhlak yang sangat mulia lagi
terpuji. Antara akhlak terpuji ialah tidak berburuk sangka dan
mencurigai seseorang, jangan mengintai dan mencari kesalahan dan
keburukan seseorang dan jangan mengumpat seseorang.
B. PRASANGKA BURUK ADALAH HARAM
1.
Sangkaan buruk adalah kecurigaan dan tohmahan yang terdetik di hati
terhadap seseorang pada bukan tempatnya tanpa sebarang bukti dan petanda
yang jelas.
2. Menurut Umar bin al-Khattab; janganlah kamu
bersangka buruk dengan satu ungkapan yang keluar daripada saudaramu
sedangkan kamu masih menemui ruang untuk bersangka baik.
3. Sangkaan adalah sebohong-bohong bicara. Ia ditegaskan oleh Nabi saw dalam Hadis Sahih Muslim:
إياكم والظن فإن الظن أكذب الحديث
Maksudnya: "jauhilah sangkaan kerana sangkaan itu adalah sebohong-bohong percakapan"
Hal ini kerana sangkaan adalah satu tohmahan dan tuduhan yang berkeberangkalian betul dan salah.
4. Sekiranya sangkaan itu adalah salah dan tidak menepati realiti sebenar maka ia menjadi satu pembohongan.
5.
Apabila sangkaan tersebut tersebar dalam masyarakat ia menjadi satu
pembohongan dan fitnah yang merosakkan reputasi orang yang disangka.
6.
Sekiranya sangkaan itu adalah benar dan menepati realiti ia tetap
menjadi satu pembohongan kerana di saat sangkaan itu berlaku dan
terdetik di hati atau dilafazkan dengan lidah ia masih lagi berstatus
tohmahan dan agak-agakkan tanpa bukti. Seorang mukmin hanya berbicara
sesuatu yang pasti dan terbukti benar bukannya sesuatu yang belum dapat
dipastikan kebenarannya.
7. Banyak orang suka menyebarkan berita
yang tidak pasti dan hanya bersifat sangkaan. Sebagai contoh seseorang
mungkin berbicara: "Saya dengar si fulan makan harta haram". Jika
ungkapan itu dibicarakan di hadapan seseorang dengan tujuan menjadi
bahan perbualan maka hukumnya adalah haram. Dia telah menyebarkan satu
berita yang belum pasti tetapi berpotensi merosakkan reputasi dan nama
baik seseorang.
C. SANGKAAN MENDORONG KEPADA MENGINTAI KESALAHAN
1.
Sangkaan terhadap seseorang akan mendorong seseorang untuk
mengintai-ngintai dan mencari-cari kesalahannya. Kerana itu Allah
menegaskan lagi
ولا تجسسوا
"Dan janganlah kamu mengintai-ngintai (kesalahan)"
2.
Setiap mukmin diajar untuk menilai seseorang pada zahir penampilannya.
Adapun hakikat sebenar dirinya di luar pandangan mata manusia atau
dosa-dosa tersembunyi dirinya dengan Allah perlulah diserahkan kepada
Allah. Bukanlah akhlak Islam mencari dan mengintai kesalahan mereka yang
tersembunyi.
3. Malah apabila dosa tersembunyi itu sampai ke
pengetahuan seseorang maka menjadi kewajipannya untuk menegur dan
menasihati seterusnya menyembunyikannya dari pengetahuan manusia lain
dan tidak menyebarkannya tanpa sebarang sebab yang syar'ie.
Nabi saw bersabda dalam Hadis Sahih:
من ستر مؤمنا ستره يوم القيامة
Maksudnya: "Sesiapa yang menutup aib seorang mukmin maka Allah tutup aibnya di hari Qiamat."
D. JANGAN MENGUMPAT
1.
Manusia tidak sempurna. Setiap orang mempunyai kelemahan dan keburukan
diri yang berbeza. Setiap orang tidak suka kelemahan dirinya menjadi
bahan bicara orang lain.
2. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk
menasihati saudaranya muslim yang melakukan kesalahan dan menutup
keburukan serta keaiban dirinya. Sesiapa yang menutup aib saudaranya
pasti Allah tutup pula keaiban dan keburukan dirinya sebagaimana sabit
dalam banyak hadis Nabi saw.
3. Keburukan diri seseorang
sekiranya diketahui tidak sewajarnya disebarkan dan dijadikan bahan
perbualan. Itulah umpatan yang diharamkan. Kewajipan saudara muslim
terhadap saudaranya ialah menasihati bukan menyebarkan keburukan
seseorang.
4. Untuk sekadar menjadi bahan perbualan sama ada di
kedai kopi atau terkini di aplikasi whatsApp maka ia adalah haram dan
membawa kepada umpatan yang diharamkan.
5. Kerana itu Allah berfirman lagi:
ولا يغتب بعضكم بعضا
Maksudnya: "Dan janganlah kamu mengumpat satu sama lain".
6.
Mengumpat adalah haram dengan dalil ayat ini dan banyak lagi
hadis-hadis yang Sahih. Mazhab Maliki mengkategorikannya sebagai dosa
besar manakala mazhab Syafie menilainya sebagai dosa kecil.
Mengumpat ialah "kamu menyebut berkaitan saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukai oleh dirinya"
7.
Menurut Ibnu Asyur mengumpat adalah haram kerana ia mengandungi
kerosakan lemahnya persaudaraan Islam. Boleh jadi umpatan itu sampai
kepada orang yang diumpat lalu terbentuk dalam dirinya rasa permusuhan
terhadap orang yang mengumpatnya maka rapuhlah binaan persaudaraan. Juga
kerana mengumpat itu bererti menyibukkan diri dengan hal ehwal manusia
lain yang melekakan dirinya daripada melakukan perkara-perkara penting
dan melekakan dirinya daripada meninggalkan sesuatu yang tidak ada
kaitan dengan dirinya.
8. Saudaramu tentu tidak menyukai
keburukan dan kelemahan dirinya menjadi perbualan orang lain. Dia
mungkin seorang yang kasar dan mudah marah. Namun tentu sahaja dia tidak
suka akhlak buruknya itu menjadi bahan perbualan. Maka kewajipan kita
sebagai saudara muslim ialah menasihatinya untuk meninggalkan akhlak
buruknya dan tidak menjadikannya bahan perbualan.
9. Ada yang
berhujah: "saya tidak mengumpat kerana memang sebetulnya dia berakhlak
buruk". Inilah salah faham. Kerana dia sememangnya berakhlak buruk maka
haram kita berbicara tentang dirinya sebagai bahan perbualan tetapi
wajib atas kita menasihatinya. Sekiranya sebaliknya dia tidak berakhlak
buruk sepertimana diperkatakan maka ia tidak dipanggil umpatan tetapi
dipanggil berbohong dan mereka-reka cerita. Berbohong dan mereka cipta
cerita yang buruk dan tidak sebenar adalah satu lagi dosa dan akhlak
yang terburuk.
10. Namun, Islam memberi kelonggaran, sekiranya
bicara tentang kesalahan seseorang yang dilakukan secara terang-terangan
adalah dengan tujuan untuk memperingatkan orang Islam agar berhati-hati
apatah lagi jika melibatkan maslahah umat Islam maka ia dibenarkan
dengan syarat tidak dalam bentuk merendah-rendahkan atau menghina si
fulan tersebut.
E. PENUTUP
Inilah keindahan akhlak Islam.
Sekiranya ia menjadi hiasan anggota sesebuah masyarakat akan harmonilah
kehidupan bermasyarakat. Sudah tentu rahmat Allah akan turun kepada
mereka.