Ramai
tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada
yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara
ini. Allah SWT berfirman, maksudnya:
“...apabila
dia telah dewasa dan usianya sampai 40 tahun, ia berdoa, Ya Tuhanku,
tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau
berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal
yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan
(memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada
Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (Surah al-Ahqaf : ayat 15)
Usia
40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia
mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi,
mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan
melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa
yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka
yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian
yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna,
kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang
harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah
Pada ayat yang lain, firman Allah SWT, maksudnya;
“...apakah
Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir
bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu
pemberi peringatan?...” (Surah al-Fathir : ayat 37)
Menurut
Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq,
yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk
berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.
Menurut
Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila
menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali
kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janji-Nya dalam ayat selepas itu - (maksudnya) Kematangan.
Usia
40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup.
Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang
kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan
hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin
muncul secara matang pada usia ini. Bahkan Nabi SAW seperti yang disebut
oleh Ibn ‘Abbas:
“Dibangkitkan Rasulullah SAW pada usia 40 tahun.” (riwayat al-Bukhari).
Nabi
Muhammad SAW diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga
dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
Banyak
negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua
negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun. Masyarakat
sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah
berusia 40 tahun. Soekarno menjadi presiden pada usia 44 tahun; Soeharto
menjadi presiden pada umur 46 tahun; John F Kennedy, 44 tahun; Bill
Clinton, 46 tahun; Paul Keating, 47 tahun; sementara Tony Blair, 44
tahun.
Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) tahap, iaitu
1.Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh)
2.Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun)
3.Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun)
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati)
Usia
40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa
mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh. Kenyataan yang paling
menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang
terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama.
Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat
dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW;
“Seorang
hamba muslim apabila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan
hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah
akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat)
kepada-Nya. Apabila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit
(malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan
menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan
apabila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni
dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga
akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan
mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi.” (riwayat Ahmad)
Hadis
ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap
penghambaan kepada Allah SWT sekali gus konsisten terhadap Islam, maka
Allah SWT akan meringankan hisabnya. Orang yang usianya mencapai 40
tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur
40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang
yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja. Abdullah bin Abbas RA
dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan
amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal
keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”
Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar
aku ingat bahwa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku
sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu
burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih
tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak
memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak
berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku
juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk
pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Di antara aku
dan dia ada Allah.”
Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika
ada yang mengatakan bahawa: Life began at forty, saya cenderung
berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada
mendekatkan diri kepada pencipta-Nya dengan sebenar-benarnya. Tetapi
satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil
kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia.
Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan
kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita
jika umur kita tidak panjang.
Maksud sabda Nabi Muhammad SAW;
“Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.”
Ramai
manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat
sementara. Sejak Nabi Adam AS sehingga kini, kesemuanya telah kembali
kepada Allah SWT tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak.
Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan
mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di
akhirat. Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan
menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.